Syukur Alhamdulillah, aku habiskan juga membaca buku tulisan Habiburrahman El-Shirazy setelah mula membacanya dua hari lepas. Sememangnya sebuah tulisan yang hebat.
Aku berasa sangat kerdil semasa membaca Ayat-ayat Cinta. Ternyata di dalamnya terkandung seribu pengajaran bagi yang mahu memikirkannya.
Ada empat jodol buku yang dibeli semasa Pesta Buku berlangsung tempohari iaitu:
Atas Nama Cinta oleh Isa Kamari
Kasih dan Awang oleh Nur Azmi
Anugerah Bulan Buat Bonda oleh Muhammad Salihin Sulaiman dan
Ayat-ayat Cinta oleh Habiburrahman El-Shirazy
Terpanggil aku untuk memulakan ulasan dengan Ayat-ayat Cinta kerana ianya yang paling memberi kesan antara kesemua buku di atas.
Tulisannya sangat menyenangkan, bersahaja tapi sarat dengan mesej mengingati Allah dan mengingatkan kita kepada kekuasaan Allah.
Fahri, seorang sarjana Indonesia yang masih teruna sedang menuntut bagi menyiapkan tesis master beliau di Universiti Al-Azhar. Beliau pemuda beriman taat kepada orang tua tinggal di flat bersama kawan-kawannya dan berjiran dengan sebuah keluarga Kristian, Tuan Bostrous sekeluarga yang baik hati.
Tuan Bostrous mempunyai seorang anak perempuan bernama Maria. Maria, walaupun berugama Kristian Koptik (aku kurang faham tentang istilah Koptik ini sebenarnya) tetapi amat meminati ajaran Islam, malah beliau telah menghafaz Surah Maryam. Seringkali Maria meminta bantuan Fahri membelikannya keperluan alat tulis.
Apa yang amat menarik, persahabatan ini diterangkan oleh penulis sesuai dengan ajaran Islam bagaimana seharusnya seorang lelaki dan wanita yang bukan mahram berurusan sesuai ajaran agama Islam. Cukup indah sekali.
Kemudian, dikisahkan pula bagaimana Fahri secara kebetulan berkenalan dengan seorang gadis keturunan Turki-Jerman (Aisha) dan seorang wanita berbangsa Amerika (Alicia) didalam Metro (semacam "commuter" atau LRT). Kisah beliau menyelamatkan seorang anak gadis tetangga bernama Noura daripada menjadi mangsa deraan ayahnya dan seluruh anggota keluarga yang lain - kejadian ini kemudiannya menjadi cubaan yang amat hebat bagi Fahri yang ketika itu baru saja mendirikan rumahtangga. Aku amat tertarik dengan Fahri yang apabila ditawarkan untuk bernikah, sebagai anak yang taat pada ibu dia memilih untuk beristikharah kemudiannya menyuruh ibunya juga beristikharah. Kemudiannya setelah itu, beliau menurut saja syarat yang diletakkan ibunya jika dia mahu kahwin. Syarat ini dinyatakan pula kepada bakal calon isterinya. Jika setuju, barulah boleh diteruskan hasrat suci untuk berkahwin.
Ada juga disebut kisah percintaan yang sangat indah. Percintaan selepas akad nikah digarapkan dalam suasana yang begitu manis sekali tanpa meninggalkan adab-adab kesopanan sesuai tatacara Islam.
Memang, Ayat-ayat Cinta terasa meresap kedalam jiwa, meresap di dalam urat saraf sehinggakan sejak bab lapan hingga ke akhirnya, aku tak berhenti-henti mengalir air mata. Bukan juga kerana sedihnya jalan cerita, tapi menyedari betapa diri ini sangat kerdil dan jahil, betapa menyedari besarnya Kuasa Tuhan, Allah Yang Maha Agung. Setiap perenggan cerita, ada saja dikaitkan dengan mengingati Allah, menyedarkan bahawa kita sesungguhnya makhluk lemah dan sewajibnya kita tidak mengharapkan ketergantungan kita selain dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Sewajarnya, novel ini diangkat menjadi sebuah rujukan utama novel cinta yang bersandarkan kecintaan kepada Allah dan RasulNya, Nabi Muhammad saw. Daripada khabar yang pernah aku dengar, jualannya mencecah lebih 400,000 naskhah. Selesai membacanya, angka ratusan ribu naskhah itu memang berhak dimiliki novel ini.
Di dalam kehidupan kita sentiasa akan berdepan dengan berbagai dugaan dan ujian, tidak kira dalam apa bentuk sekalipun. Usai membaca novel ini, aku merasakan seperti mendapat kekuatan dalaman yang amat berkesan. Masya Allah, terasa ingin sekali berjumpa dengan penulisnya. Ingin di ucapkan sekalung tahniah kerana berjaya melahirkan satu novel yang sungguh indah untuk dibaca dan diselami maksudnya.
Di sini, aku senaraikan antara tulisan-tulisan yang dipetik daripada Ayat-ayat Cinta yang kurasakan sangat meninggalkan kesan pada diriku:
1. Masalah hidayah dan iman adalah masalah misteri. Sebab, hanya Allah saja yang berhak menentukan siapa-siapa yang patut diberi hidayah. (Sungguh!)
2. Dunia ini memang penuh perbezaan-perbezaan kontra yang terkadang tidak mudah dimengerti. (Memang benar sekali kerana adalah lebih baik memindahkan batu sebesar gunung daripada cuba untuk memberi kefahaman tentang sesuatu kepada orang lain - aku mengira maka dari situlah wujudnya perbezaan-perbezaan berkenaan)
3. Memenuhi segala kesesuaian dengan hati semua manusia adalah hal yang tidak mungkin kamu capai, kata Iman Syafi'i.
4. Dakwah ya dakwah. Ibadah ya ibadah. Tapi elokkah perbelanjaan dakwah dan ibadah dibebankan ke atas orang lain?
5. Dakwah Nabi dengan perbuatan lebih banyak berbanding dakwah beliau dengan khutbah dan perkataan.
6. "Kita mengamalkan hadis Nabi: Tahaadu Tahaabbu! Salinglah kalian memberi hadiah maka kalian akan saling mencintai!"
7. Surah Ar-Ra'ad (ayat 11): "Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib suatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang merubah nasibnya." Jadi nasib saya, masa depan saya, mahu jadi apa saya, sayalah yang menentukan. Berjaya dan gagalnya saya, sayalah yang menciptakan. Saya sendirilah yang merancang apa yang akan saya raih dalam hidup ini.
Lalu dimana takdir Tuhan?
Takdir Tuhan ada di hujung usaha manusia. Tuhan Maha Adil, Dia akan memberikan sesuatu kepada umatNya sesuai dengan kadar usaha dan ikhtiarnya.
8. Kata Thomas Carlyle: "Seseorang dengan tujuan yang jelas akan membuat kemajuan walaupun melalui jalan yang sulit. Seseorang yang tanpa tujuan, tidak akan membuat kemajuan walaupun berada di jalan yang lurus."
9. Memang akan selalu ada orang-orang jahat yang berusaha meragukan kebenaran dan merosak kesucian Al-Quran. Namun ketahuilah usaha mereka akan sia-sia. Kerana Allah sendiri yang akan menjaga keaslian dan kesuciannya sampai hari akhirat. Dan orang-orang pilihan Allah di dunia ini adalah mereka yang disebut Ahlul Quran. Orang-orang yang hatinya selalu terpatri pada Al-Quran, mengimani Al-Quran dan berusaha mengajarkan dan mengamalkan isi Al-Quran dengan penuh keikhlasan. (Masya Allah! tak dapat tidak fikiran ku singgah pada anak-anak di sekolah tahfiz Mak Teh dan juga pada adik bongsu ku yang kini sedang belajar untuk menjadi salah seorang hafizah, insya Allah. Kita juga seharusnya lebih berusaha untuk menjadi orang-orang yang mengamalkan Al-Quran, bukan sahaja menjadi pembaca yang buta, bisu dan pekak. Aku sendiri terutamanya masih banyak yang aku perlu penuhi daripada tuntutan-tuntutan Al-Quran. Semoga saja nanti kita menjadi sebahagian daripada Ahlul Quran!)
10. Pintu-pintu syurga terbuka lebar untuk orang yang sabar menerima ujian Allah.
11. As you sow, so will you reap!
12. Siapa yang bertaqwa kepada Allah, maka Dia akan menjadikan untuknya jalan keluar. (sebahagian daripada ayat 100 dinar, aku hampir lupa akan ayat ini walhal ayat inilah yang terpampang dijadikan banner blog ku!)
13. Jangan terlalu kedekut dan jangan pula terlalu boros.
14. Seorang isteri paling suka dipuja dan dicintai. Juga tidak segan mengajak isteri ke kedai pakaian dan kedai perhiasan. Sering-sering minta pendapat, satu kehormatan bagi seorang isteri merasa dirinya sangat penting bagi pengambilan keputusan sang suami.
15. Banyak lelaki yang menjadi kerdil setelah memiliki isteri yang cantik dan kaya-raya. Semangat juang dan kerja kerasnya luntur.
16. "Ya Allah, letakkanlah dunia di tanganku, bukan di hatiku."
17. "Wanita yang terbaik di antara kamu adalah yang membuang perisai malu ketika ia membuka baju untuk suaminya, dan memakai perisai malu ketika ia berpakaian lagi!"
18. Sangat mudah bagi Tuhan untuk menghapuskan duka dan kesedihan hambaNYA.
MasyaAllah! Aku panjatkan segenap kesyukuran kepadaMu Ya Allah kerana diberi peluang untuk membaca novel hebat ini. Sesiapa yang telah membacanya pasti amat memahami kata-kataku ini dan sesiapa yang masih berkira-kira atau masih belum tahu tentang kewujudan novel ini, carilah dan bacalah. Semoga beroleh manfa'at. Mudah-mudahan diperkenankan Allah. Ameen!
Katanya Ketika Cinta Bertasbih lebih hebat daripada Ayat-ayat Cinta, aku jadi tidak sabar untuk mencarinya.
Aku panjatkan do'a kepada Allah Yang Maha Kuasa agar dikirimnya seorang Fahri kepada setiap Puteri-puteriku, dan juga seorang Aisha kepada Puteraku. Tetapi, wajiblah aku mengasuh dan mendidik Putera dan Puteri-puteri ku supaya menjadi seorang Fahri dan Aisha terlebih dahulu!
hebat. ulasannya sehebat tulisan bukunya. alhamdulillah saya pernah bertemu dengan penulisnya. buku AAC yang saya beli, ada tandatangannya. carilah KCB. bacalah. pasti akan teruja. satu nak tanya, berjaya tak cari apa sebenarnya Ayat-ayat Cinta? :)
awak beruntung dapat bertemu empat mata dengan Kang Abik ya?
terima kasih atas pujiannya Abi
Ayat-ayat Cinta: Surah Az-Zukhruf ayat 67: Orang-orang yang akrab saling kasih-mengasihi (sahabat-sahabat karib), pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan bertaqwa (iman dan amal soleh).